Pages

Monday, May 25, 2015

8 Idea Praktikal Suri Hadapi GST

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Google

Tenang itu lebih baik. Daripada kelam-kabut, akhirnya satu apa pun tidak menjadi menjadi.
 

Suri baik bekerjaya mahupun di rumah perlu jadi lebih praktikal kala GST.

Jangan asyik merungut saja, tapi kaki masih lagi melangkah ke gedung-gedung membeli belah, masih bawa anak-anak makan mewah di restoran-restoran makanan segera.

Apalah daya kita untuk berkata tidak pada GST. Tapi kita sebenarnya ada kekuatan untuk bertindak bijak sepanjang era GST ini.

Saya sendiri sebelum kerajaan umumkan GST sudah pegang beberapa prinsip penting tentang kewangan peribadi. Saya pegang kata-kata pakar kewangan Islam, Puan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir agar menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan kita.

Saya kira, itu adalah gaji yang saya berikan untuk diri sendiri. Saya juga percaya bahawa mimpi raja Mesir yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf a.s itu bukan saja-saja. Ia ada indikator yang perlu saya jadikan sempadan untuk meneladani kewangan peribadi.


"Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata; "Sesungguhnya aku bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai mentafsir mimpi". - Surah Yusuf Ayat: 43

Tafsiran mimpi Raja Mesir itu dijawab oleh Nabi Yusuf,

"Yusuf menjawab: Hendaklah kami menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan".

"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kamarauan yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)".

"Kemudian akan datang pula sesudah itu yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". - Surah Yusuf Ayat; 47-49.

Maka, perkiraan saya bermula dari tahun 1997 iaitu tahun Malaysia mengalami kegawatan ekonomi paling meruncing. Bermakna tujuh tahun itu, perlu berjimat-cermat. Tujuh tahun seterusnya, bolehlah saya bersenang sedikit membeli kehendak yang diinginkan. Dan seterusnya.

Sebab itulah, memasuki tahun 2015 ini saya perlu akur dengan apa juga keadaan yang terjadi. Tapi akur tidak bermakna menyerah begitu saja. Perlu ada usaha bagi membolehkan saya terus 'survival' dalam masa yang sama tenang hadapi ekonomi bak tujuh ekor lembu yang kurus seperti dalam mimpi Raja Mesir itu.

Sebenarnya saya tidak sendirian. Dalam melengkapkan perkongsian idea kreatif suri kerjaya hadapi GST ini saya minta juga pandangan beberapa rakan suri kerjaya dan WAHM.

#Mari Ke Pasar

Pasar borong paling menjimatkan. Pergi seawal pagi dalam jam 3 - 5 pagi. Pada waktu ini harga 'seafood' jauh lebih murah dan lebih segar. Waktu saya mahu adakan majlis kenduri di rumah, berpagi-pagi saya ke pasar borong Klang. Harga barang juga masih boleh ditawar-menawar.

Cuma usaha ini perlukan sedikit kesungguhan untuk bangun seawal pagi dan tahan mengantuk. Mahu senang itu pun sebenarnya bukan senang. Tapi bila sudah mula, ia jadi seronok. Jika mahu lebih jimat masa dan tenaga, rancang perjalanan anda.

Sebelum pergi, buat senarai dan sebolehnya lakukan belian untuk seminggu. Jadi tak perlulah hari-hari ke pasar borong. Kemudian, balut sayur-sayuran yang belum mahu dimasak di dalam kertas surat khabar yang tebal dan simpan dalam peti sejuk. Renjis-renjiskan dahulu sayuran tadi dengan sedikit air. Teknik sebegini boleh dipraktikkan jika mahu sayur sentiasa segar ketika di simpan di dalam peti sejuk.

Ikan pula boleh disimpan dalam bekas plastik di tempat beku. Pastikan anda bersihkan dahulu ikan, udang ataupun sotong sebelum menyimpannya di bahagian peti beku. Menyimpan 'seafood' yang tidak disiang akan membuatkan ia hilang kesegarannya dan jadi kurang elok.

#Memasak Pun Ada Tekniknya

Saya kira ramai suri akan memasak untuk anak-anak mahupun suami tersayang. Saya pernah menonton satu rancangan masakan yang dikendalikan Chef Wan. Beliau berkongsi cara mudah dan praktikal untuk suri jimatkan masa memasak.

Kupas bahan utama masakan secara pukal, kisar dan simpan. Misalnya, kupas bawang merah, kisar dan simpan dalam plastik penyimpan. Lakukan hal yang sama pada bawang putih, halia, serai, mahupun cili kering. Dalam setiap masakan Melayu, inilah antara bahan wajib yang perlu ada.

Masa sebenarnya cukup cemburukan suri bekerja. Mahu memasak untuk anak-anak sepulang dari kerja pun terkejar-kejar dibuatnya. WAHM Zaila Mohamad berkongsi idea memasak dengan kuantiti yang banyak.

"Tak perlu ke dapur berulang kali. Selalunya saya masak sup ayam kerana anak-anak sukakan makanan berkuah. Padankan pula dengan ayam goreng. Gulai ikan pula, padankan dengan ikan goreng. Lauk Paprik, padankan dengan telur dadar.

"Saya juga ada gadget periuk ajaib Noxxa yang ambil masa sekejap untuk memasak, sup, rendang malah nasi arab. Cuma ambil masa 8 minit dan ia boleh masak dalam kuantiti yang banyak.  Apabila dah siap memasak, boleh terus simpan dalam periuk dan buat mod panaskan.

"Pelaburan membeli Noxxa rupanya lebih berbaloi apabila saya mula merancang untuk mengambil tempahan masakan pada hujung minggu untuk tambah pendapatan saya. Zaila juga berkongsi idea memasak di blog miliknya; www.zailabinimdae.blogspot.com.
 
#Berkebun Bukan Sekadar Terapi

Sejak GST ini makin ramai suri kembali menanam sayuran sendiri. Lebih jimat dan tak perlu habiskan banyak wang di pasar. Hanya membeli makanan tertentu saja.

Tanaman praktikal adalah pokok cili, serai, daun kunyit dan sayuran lain. Boleh juga gunakan kaedah hidroponik. Boleh juga belikan pasu saiz sederhana untuk ditempatkan di halaman rumah. Salah seorang ahli grup Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri, Fadzillah Haryati jadikan hobi menanam sebagai salah satu punca pendapatan keluarganya.

Di sekeliling rumahnya cukup banyak buah mulberi. Baru-baru ini, ia berbuah lebat dan teman-teman mula membuat tempahan. Selain menanam untuk kegunaan sendiri, cubalah menanam tanaman yang kreatif dan boleh mendatangkan wang seperti buah mulberi.

Suri boleh juga mencuba menanam pokok bunga kantan, lagipun harga bunga kantan semakin mahal. Satu batang boleh mencecah RM4. Siapa tahu tumbuhan 'rare' ini nanti boleh jadi pendapatan lumayan buat suri sekeluarga. Menanam ini sebenarnya boleh saja dilakukan pada hujung minggu.

#Tabungan & Pelaburan

Nampak pelikkan? Sudahlah harga barang naik. Cukai GST lagi, saya pula beri saranan agar buat tabungan dan pelaburan. Macam yang saya terangkan sebelum ini, tahun 2015 adalah tahun lembu kurus. Jadi tahun ini tidak boleh berbelanja sakan.

Jika tidak boleh, belajarlah membuat simpanan sesedikit mungkin. Kemudian, tambah sedikit demi sedikit. Saya dulu juga seperti anda, buat-buat tidak pandai menyimpan. Hujung bulan saja kering-kontang. Beri alasan konon harga barang mahallah, mahu beli keperluan anaklah. Cuba fikir sejenak. Sejak bila harga barang tak naik?

Dari zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi, tiada harga barang yang turun mendadak. Jadi, diri kita sendirilah yang perlu bijak membuat penilaian.

Kira-kiranya begini. Katakan pendapatan sebulan RM1000 ambillah RM100 dan simpan di tabungan yang susah keluarkan. Kemudian, buat-buat tidak tahu. Jika masih susah mahu keluarkan 10 peratus simpanan, simpan saja RM20. Cuba kalikan dengan 3 tahun. Nilaiannya sudah bertambah RM720. Jangan kata nampak sedikit. Bayangkan ini adalah 'tabungan ghaib' yang anda tidak perasanpun selama ini. Wang selebihnya boleh simpan untuk pelaburan, sama ada emas, perak, saham, insurans dan sebagainya.

#Bento Untuk Anak

Menyediakan sarapan untuk anak-anak cukup mudah buat suri yang berada di rumah. Ia akan jadi tugas yang super sukar buat ibu yang bekerja. Pertama, perlu berperang dengan kepenatan fizikal akibat seharian melayan stress di pejabat.

Tak ramai sebenarnya ibu-ibu bekerja yang dapat menyediakan bekal untuk anak-anaknya. Apa kata, suri bekerja gunakan teknik ini untuk buatkan anak bekalan dengan cara yang paling kreatif.

Buatlah persediaan makanan yang tahan sehari dua dan simpan di dalam peti sejuk. Letakkan siap-siap makanan itu di dalam bekas plastik kedap udara. Apabila mahu digunakan boleh dipanaskan di pagi hari.

Contoh makanan yang boleh disimpan seperti sup ayam ataupun kari daging. Elakkan makanan jenis bersantan kerana ia mudah menjadi basi.

#Nilai Semula Pakej Astro

Ramai yang marah-mara dengan caj GST 6% yang dikenakan Astro. Marah-marah saja tidak berguna jika tikdak membuat tindakan segera. Sekarang ini sudah ada pakej Astro NJOI yang free untuk setiap bulan. Bayar harga decoder dan pemasangan, anda sudah jimatkan bayaran bulanan Astro anda.

Jika masih mahu nikmati rancangan di Astro, cuba down grade kan pakej anda seminimum mungkin. Lebihan duit itu nanti boleh disimpan untuk rancangan masa hadapan.

#Berniaga Online

Saya kira, menambah pendapatan keluarga adalah cara paling mudah dan praktikal untuk menghadapi bebanan GST. Sekarang ini banyak cara untuk melaksanakannya. Tapi tak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan.

Berniaga boleh dilakukan tanpa sebarang kos pun sebenarnya. Mulakan dengan menjual secara ‘dropship’ iaitu agen promosi untuk sesetengah produk atau syarikat. Tak perlu keluarkan modal yang besar, malah sesetengahya tidak memelukan anda mengeluarkan wang sekalipun.

Gunakan medium social yang ada; facebook, instagram, blog, website dan sebagainya. Pastinya, medium ini ‘FREE’ semuanya. Asalkan anda bijak mencari dan ‘explore’ di carian google.

#Dhuha & Sedekah

Saya letakkan info ini paling akhir sekali, walau bagaimanapun, inilah teknik paling berkesan dan ‘power tool’ dalam anda berhadapan dengan situasi GST yang amat meresahkan hati.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki memberikan formula sedekah begini: Sedekah 1; anda peroleh 10 pulangan. Itulah janji Allah pada individu yang bersedekah dengan ikhlas.

Seorang teman pula mencadangkan pada saya, agar niatkan juga sedekah itu pada ibu-bapa, ibu bapa mentua, anak-anak mahupun sesiapa sahaja yang dekat dengan kita.

Cerita teman tentang kisah kucing dan hati orang suci juga menarik untuk diteladani. Katanya, kucing adalah agen pengesan rezeki yang terbaik. Kucing tidak akan mendekati seseorang andai dia tahu dirinya tidak akan dipedulikan.

Jika di kedai makan, kucing akan mendekati orang-orang yang akan memberinya makanan waima seketul ikan bilis. Dan biasanya, orang yang didekati itulah orang yang akan memberinya makan. Oleh itu, berasa beruntunglah apabila anda didekati oleh kucing yang meminta makanan kerana kucing juga tahu mengesan orang-orang yang suci hatinya.

Dhuha itu pembuka rezeki di awal pagi. Hayati bacaan doa dhuha:

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, keindahan adalah keindahan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu, Wahai Tuhanku, apabila rezekiku berada di atas langit maka turunkanlah, apabila berada di dalam bumi, maka keluarkanlah, apabila sukar mudahkanlah, apabila haram sucikanlah, apabila jauh dekatkanlah dengan kebenaran dhuha-Mu, kekuasaan-Mu (Wahai Tuhanku), datangkanlah padaku apa yang Engkau datangkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Ada rintihan seorang hamba yang mengharapkan Allah membukakan pintu rahmat dan kemudahan untuk dirinya. Dalam tak sedar juga, dhuha ini menjaga hati kita agar sentiasa akur bahawa Allah itu Maha Pemberi Rezeki.

Semoga 8 idea praktikal ini berguna buat suri berhadapan GST. Selamat mencuba!